Selasa, Mei 24, 2011

SEKITAR AKTIVITI KOAKADEMIK BAHASA (Koakademik Bahasa, KAMIL dan MTQ)

Catatan kali ini hanya memaparkan beberapa gambar yang sempat dirakamkan buat tatapan semua dan kenangan indah yang dirasai bersama-sama dalam aktiviti koakademik Bahasa termasuk dalam acara Kemahiran Amal Islami (KAMIL) dan Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ)... Alhamdullillah dengan pencapaian yang mereka perolehi... walaupun pasukan bahas Bahasa Melayu SAMER gagal melepasi peringkat Zon dalam KAMIL namun memperlihatkan kecemerlangan dalam Pertandingan Bahas ala Parlimen peringkat daerah dan negeri dalam koakademik Bahasa..


Sirih Berlipat di dalam puan,
dimakan dek sang putera berseri,
ditemani pula si puteri jelita;
Bukan wang ringgit jadi taruhan,
asas membentuk peribadi diri,
agar memanpan jati diri mulia.

Puas sudah menanam kenanga,
cempaka juga menjadi pilihan;
Puas susah duka gulana,
akhir tiba hari kemenangan.





Rimbun berdiri si pohon saga,
bersantai pula si muda bestari;
Rumpun sehati penjana bahasa,
ilmu berteras usulan budi.

Berbuah lebat si pohon mangga,
Kuning mencelah menaut hati,
sungguh manis lidah merasa;
Budi bahasa menggambar dicita,
ilmu diungkap sebagai bukti,
agar semua berasa bangga.
 Jika tuan memetik delima,
petiklah juga si buah kuini;
imbas bergaya dua jejaka,
menjadi taruhan luah bistari.

Petiklah juga si buah kuini,
segar baunya unik haruman,
jadi idaman sang puteri,
disimpan rapi dalam tampian;
Sudah tersirat dalam lestari,
mengharap jaya dalam genggaman,
usaha giat menggalak diri,
walau masa galang gantian.

Padi huma si padi bukit,
makin berisi makin merunduk;
komitmen diberi bukan sedikit,
biarpun menjaga embun ditanduk..

emas permata berkilau cerlang,
jadi titipan oleh jauhari;
biar apapun bakal menjelang,
pasti dilalui sepenuh hati..

saujana luas pepohon pauh,
lebat beruntai pauh melayang,
idaman hati sedekat memandang,
biarpun peluang sangatlah jauh,
usaha giat tidakkan goyang,
tetap teguh setiap dipegang.

Jika tuan ke pekan sari,
belikan kami seikat petai;
kuatkan semangat di dalam hati,
pasti jaya akan dicapai..
 

Puas sudah menanam padi,
hilang padi tumbuhnya lalang;
petah bicara wahai si puteri,
masa yang singkat menjadi galang.

Manis sungguh anak Pak Ali,
Manis lagi puteri Pak Seman,
tambah molek waris Mak Limah;
Biar berlatih berulang kali,
ditambah lagi setia bimbingan,
menjadi ubat hati yang lemah.
Pak Abu memancing di sisi sungai,
duduk bersama anak cek Seman;
biar sukar cita dicapai,
usaha berterusan menjadi amalan.

Biar jauhari memilih manikam,
Intan dan nilam menjadi idaman;
terus berusaha biarpun terancam,
tempat kedua dalam genggaman.
luas sungguh sawah terbentang,
indah cerlang padi menguning;
apa saja mungkin ditentang,
biar cabaran semakin bening..

tepak puan sudah terhidang,
sirih junjung penyusun bicara;
apalah juga sukar menghalang,
isi yang utuh untaian kata.

Gagah sungguh datuk laksamana,
samudera luas sanggup ditempuh;
kami semua sentiasa bangga,
semangat didukung sentiasa teguh..
terbang tinggi si burung jentayu,
luas angkasa dijelajah megah;
terima kasih guru kerna membantu,
sanggup berkongsi susah dan payah.

Pucuk pauh dipetik puan,
untuk ulaman pengganan betara;
banyak masa jadi taruhan,
membantu citra ke gerbang jaya...
Suri berteman memasang pelita,
cerlang sinaran menghias suasana;
pelbagai kisah pelbagai cerita,
susah senang getir bersama..

Si dara memetik daun selasih,
dipetik bersama pepucuk muda;
selaut sayang sejambak kasih,
taut pekerti umpama saudara...

Anak cina bermain congkak,
congkak diperbuat pepohon getah,
main bersama si puteri jelita;
tidak dijulang rasa yang bongkak,
tidak digalas hati yang patah,
tabah dan sabar belahan jiwa..

sungguh indah anyaman mengkuang,
terhampar molek tamuan rumah;
asak bertalu, soalan menjulang,
dijawab tepat bahasa yang ramah.

ke pekan sari di seberang pura,
hendak membeli si rempah ratus;
biar sulit ditempuh mereka,
usaha berlipat terus menerus..

hendak membeli si rempah ratus,
untuk menggulai si ikan keli,
untuk dimakan bersama puan;
Kuat semangat tiadalah putus,
biarpun tersilap salah diuji,
nasib yang tiada jadi taruhan..

si kecil menangis hendakkan putu,
putu dibuat oleh cek nyonya,
enak dimakan bersama kelapa,
tambah rasanya bercicah gula;
menghadapi pusingan sebagai penentu,
kerana khilaf syarat ditanya,
menjadikan hati menjadi duka,
sayu dianiaya terasa juga...

Sudah lama bertanam ubi,
ubi diambil dari seberang;
sudah lama menanam budi,
tempat ketiga tetap dijulang.

ubi diambil dari seberang,
enak juga dibuat santapan;
piala indah kini dipegang,
menjadi bukti kemenangan.

enak ubi dibuat santapan,
makan bersama di pangkin bonda;
sepenuh usaha jadi taruhan,
segala pencapaian tetap dibangga.

Makan bersama di pangkin bonda,
sambil bergurau bergelak ketawa;
bukan kita penentu segala,
apa dicapai redhalah jua.
Sambil bergurau bergelak ketawa,
disambut mesra oleh Cik Seri;
tidak terjangkau tidak tersua,
kalian tetap kebanggaan kami.

Anak-anak,

Disambut mesra oleh Cik Seri,
diunjuk duduk bersama kelana;
usah disimpan di dalam hati,
alah dan menang adatlah jua.

Sungguh cerlang mentari pagi,
bertambah nyaman bayu berhembus;
biarpun jauh si bangau pergi,
tidak akan hilangnya terus.

Sungguh nyaman bayu berhembus,
ceria berlarian si anak-anak;
kekalahan tidakkan terus menerus,
jangan menjadi beban di pundak
Berlari-larian si anak kecil,
di batasan sawah bermain lelayang;
usaha sentiasa akan terhasil,
biarpun hadirnya tidak berbayang..

anak-anak bermain guli,
bermain ceria di laman Mak Senah;
segala itu lebih bererti,
jika bersama susah dan payah.
Lelayang megah di angkasa raya,
tali ditarik berhati-hati,
apa sahaja dihadapi bersama,
makna sempurna kesatuan hati.

lelayang megah di angkasa raya,
tali diuruskan berhati-hati;
bersama payah telah dirasa,
tempat ketiga peringkat negeri.
Hembusan bayu membelai rasa,
hati gembira senyum berseri;
mereka bersama tempat ketiga,
tiada sengketa di dalam hati.

Hati ceria senyum berseri,
menerima hadiah dari teruna;
Piala dipegang menjadi bukti,
terlestari sudah segala usaha.
Buah nam-nam letak di perdu,
lemak dimakan bersama garam;
bersatu hati sokongan guru,
hadapi didikan bermacam ragam.

Jika adik hendak ke pekan,
singgah sebentar rumah Cik Siti;
jika pendek guru ajarkan,
akan sukar mereka mengerti.
Si Tompok si kucing belaan,
Si Berek si ayam tambatan;
bukan yang lapuk kami hamparkan,
pertahankan hujah kami tautkan.


Menyusun pinggan di para-para,
sungguh elok jika dipandang,
cermat hemat ketika berbicara,
pendebat terbaik jelas tersandang.
Ambil galah menjolok mangga,
Mangga Madu nama diberi;
bersama-sama arena dijaya,
Bidang Bahasa bersatu hati.

Sungguh tinggi pohon kelapa,
kelapa tua banyak santannya,
salah silap hati tercela,
usah disimpan menjadi luka.
Anak muda berkain pelekat,
duduk berdendang di tepi kali;
berkat usaha kata sepakat,
johan daerah ketiga kali.

Anak muda memasang pukat,
untuk menangkap ikan pelbagai;
usaha dan doa menjadi berkat,
kekusutan lama telah terlerai.
Girang anak-anak berlari-lari,
berkejar-kejar di atas batas,
nasihat panduan terus diberi,
masa sentiasa bergerak pantas.

Budak-budak mencari sepat,
sepat dicari di tengah bendang;
Isi dan hujah mestilah tepat,
usul yang ada perlu ditentang.
Asam pedas masakan Melaka,
tambang enak ditambah belimbing;
kami sungguh berasa bangga,
melihat kalian jalan beriring.

Asam laksa masakan Pulau Pinang,
gulai tempoyak masakan Perak;
Memang gembira menjadi pemenang,
rasa riak mestilah dielak.


Nyaman sungguh dipuput bayu,
indah sungguh pemandangan bendang;
tidak kalah menjadi abu,
menang juga tidak menjadi arang.

Burung nuri burung kenari,
mesra beralun berlagu-lagu;
jual diberi jawab dilestari,
jaya hasil pakatan padu.
sehelai selendang sudah dibeli,
hendak dipakai bersama kebaya;
usaha dan komitmen sudah diberi,
tiada salah mengharap jaya.

Pak Jali menjala ikan,
menjala ikan di hulu sungai,
segala ilmu sudah dicurahkan,
terserah bicara untuk melangsai.
Bunga melati dan bunga melur,
harum baunya menaut hati,
pelbagai acara telah dicebur,
semoga diamal ilmu diberi.

Harum baunya menaut hati,
sama harumnya si bunga kenanga,
jika diamalkan ilmu diberi,
insyaallah berjaya walau ke mana.
Enak rasanya si buah melaka,
intinya manis berisi gula;
sungguh berani mereka mencuba,
walaupun baru berusia muda.

kuning menyerlah bunga kenanga,
tumbuh subur lebat berbunga;
semoga jadi modal insan sempurna,
kokurikulum membentuk jati diri remaja.
Seri leka membuat anyaman,
anyaman tikar silang mengkuang,
walaupun bermula dengan ancaman,
tahniah berani terus berjuang.

Anyaman tikar silang mengkuang,
untuk dijual ke bandar Jeli;
jika pandai mengambil peluang,
menjadi kenangan di kemudian hari.
sampan kolek menongkah arus,
akan karam tanpa dikemudi;
adil, amanah dan jua telus,
sentiasa disanjung sebagai juri.

Beriring kolek bersama sampan,
beriring-iring menuju ke muara;
bukan hujah sahaja ditampan,
pengalaman bermakna di hari muka.
Pucuk pauh dibuat ulam,
makan bersama sambal belacan;
jika usaha tidak disulam,
pasti terjadi banyak kesilapan.

Sungguh manis bersanggul sisi,
disemat seri bunga kemboja;
hanya yang melalui sahaja mengerti,
betapa perjuangan itu bermakna.
Duduk bersantai di pangkin bonda,
sambil bernyanyi menggoyang kaki;
tidak difaham suka dan duka,
jika peluang tidak dicari.


Berdendang-dendang si anak muda,
sambil berdendang menari-nari;
tidak dipandang walau siaga,
jika ke gelanggang tidak dijuri.

Comel sungguh si burung kenari,
tenggek berlagu mendayu-dayu
Kami pembimbing kamilah juri,
semoga usaha tidak diragu.

Budak-budak bermain guli,
bermain bersama bergelak ketawa.
sukar jika menjadi juri,
jika ilmu tiada di dada.
Budak-budak berkejar-kejaran,
tersandung batu lalu terjatuh;
semua mesti memainkan peranan,
kerjasama akan menjadi utuh.

Tersandung batu lalu tersungkur,
lutut berdarah kain diikatkan,
bukan kejayaan sahaja diukur,
kesepaduan lebih diutamakan.

Mendayung sampan ke kuala,
kiambang berkuak pasti bertaut;
Dalam KAMIL zon jadi juara,
Juara negeri terus menurut.

Sayang selasih hamba lurutkan,
untuk diberi pujaan hati;
terima kasih kami pautkan,
Bahasa Arab diletak di tempat tinggi.
Terbang berkawan burung merpati,
turun serentak di tengah padang;
Musamarah akan melekat di hati,
memikat hati ketika didendang.

Sungguh gatal getah keladi,
namun ubi sedap dimakan;
Selaut kasih sekalung budi,
umpama Bahasa Arab dimantapkan.
Burung kelicap menghisap madu,
menghisap madu di bunga kemboja;
secebis ucapan untuk didahulu,
Hanya Allah bisa membalasnya.

Sungguh cerlang sinar mentari,
Unggas-unggas girang berlagu,
Pagi hari indah berseri,
ceria hari menjelang petang;
jika silap dalam memberi,
hanya kemaafan didahulu,
moga tidak tersimpan di hati,
moga yang pedih terus berlalu.
Di sana padi di sini padi,
barulah boleh dipanggil bendang,
di sana budi di sini budi,
barulah boleh dipanggil orang...

Semoga kecemerlangan akan terus dicerna dalam kondisi yang gilang agar anak-anak ini menjadi yang terbilang suatu masa kelak, insyaallah.              
VISI SAMER
Sekolah Agama Menengah Rawang (SABK) unggul menjana generasi terbilang.
Insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan