Jumaat, Mac 20, 2009

INDIVIDU DALAM SEJARAH DEBAT SAMER


Assalamualaikum.
Catatan kali ini hanya untuk mengimbau beberapa kenangan lalu bersama ahli-ahli debat SAMER. Walaupun ketika itu, KUBUKU BUKU SAMER belum lagi ditubuhkan namun pasti adalah memoir atau individu-individu yang mencatat sejarah dalam aktiviti pengucapan awam. Biarpun sudah berlalu namun kenangan manis ketika bersama individu-individu berkenaan pastinya masih tersemat di hati kami di SAMER. Kali ini kami ingin melakarkan dua orang individu yang terdapat dalam sejarah debat di SAMER.

SARAH BT YAHYA, seorang pendebat yang hebat. Melibatkan diri dalam arena perdebatan sejak di tingkatan tiga lagi. Peranannya sebagai pendebat ketiga amat terserlah. Kepetahan berkomunikasi dalam menyampaikan bidasan tidak dapat disangkal. Kini, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Darul Iman, Malaysia dalam jurusan undang-undang. Bersesuaian dengan kepetahannya, pastinya bidang tersebut merupakan pilihannya yang utama. Di IPT, beliau mewakili universiti berkenaan dalam acara debat meneruskan dan mempertingkat kebolehan dalam bidang tersebut. Semoga kejayaan akan tetap menjadi milik beliau walau di mana sekalipun berada.


MOHD AZIM B. AMIN,

seorang pelajar yang cemerlang dan dedikasi. Melihatkan peribadinya yang agak pendiam, sukar untuk menduga bahawa individu ini seorang pendebat yang petah, bersahaja dan tegas.


Perwatakan dan raut wajah yang tenang dan lembut mungkin tidak menunjukkan peribadi beliau yang sebenar.

Azim terlibat dalam arena perdebatan di SAMER tidak lama. bermula di tingkatan 3. Beliau menyambung pelajaran ke tingkatan 4 di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Namun setahun di SAMER, beliau memperlihatkan potensi yang hebat sebagai pendebat. Beliau memainkan peranan dengan baik di setiap posisi yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Tahniah kepada beliau kerana berjaya mendapat keputusan 11 1A dalam peperiksaan SPM, 2008 yang lalu. Semoga kejayaan akan terus mengiringi beliau.

Untuk perhatian :

Gambar-gambar kedua-dua orang indvidu ini diambil daripada album halaman friendster mereka.

Kepada Ustaz Abdul Hidir Afnizal, Ustazah Nor Aishah, Ustazah Sarah, Ustazah Maryuni kerana telah mengeluarkan mutiara ini dari dasar lautan untuk digilap..lantas memberikan cahaya yang menyinar dan memekarkan model pengucapan awam yang cemerlang. Semoga usaha kalian, guru-guru yang penuh dedikasi ini akan diberkati Allah.. Biarpun mereka tidak lagi bersama-sama kita di SAMER, namun mereka masih boleh memberikan sumbangan yang banyak kepada masyarakat. Benih yang baik itu jika dicampak ke laut, pasti menjadi pulau.

TERIMA KASIH atas segalanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan