Selasa, Mei 18, 2010

KAMI GENGGAM PIALA PUSINGAN ITU LAGI... ALHAMDULLILLAH..


"Ustazah, boleh kami pinjam blazer? Kami hendak bergambar..." itulah kata-kata seorang pendebat sekolah. Sejak memenangi pertandingan debat ala parlimen daerah Gombak di SMK Seri Keramat yang lalu... piala ini disimpan di bilik GPK Kokurikulum... Seminggu sahaja dalam pandangan kami, kemudian kami tidak melihatnya lagi.

"Kenapa hendak bergambar sangat?"

"Esok piala pusingan ini akan diserahkan semula untuk diberikan kepada pemenang Debat pada tahun ini..."

"Ya lah betullah tu... piala pusingan bukan hak kita.. kena pulangkan, tapi bukankah kalian boleh mengekalkan piala itu di sini... Tidak yakin?"

"Bukan macam tu, kami memang bersedia namun kita kan tidak akan tahu apa yang berlaku esok.. jika ada rezeki, piala ni akan kembali kepada kita... tapi kalau tidak.. sebab tu kami nak bergambar juga dengan piala ini buat kenangan. Jika kalah taklah rasa ralat sangat"

Perbualan awal sebelum beberapa helai blazer dikeluarkan daripada almari simpanannya... hanya untuk bergambar.. Tidak mengapa jika piala pusingan itu tidak kembali, tetapi besar harapan kami semoga Piala itu akan kekal di SAMER...

Bergambar bersama-sama pasukan debat peringkat akhir dari Sekolah Agama menengah Rawang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat..

Dalam tempoh seminggu kami diberitahu menjadi tuan rumah pertandingan akhir debat Bahasa Melayu sekolah-sekolah menengah Daerah Gombak... Persediaan kami jadi berganda.. Kecoh juga awalnya... memandangkan maklumat yang diperoleh pada khamis itu tidak dapat dibincangkan disebabkan Ketua bidang Bahasa yang bertindak sebagai Penyelaras Jawatankuasa pertandingan akhir mengambil cuti sakit selama dua hari, dan Ketua Panitia sebagai setiausaha juga mempunyai urusan penting.


Pn Noraishah Ibrahim dan Ustaz Abdul Hidir memainkan peranan memandangkan mereka adalah jurulatih dan pembimbing utama debat sekolah (SAMER). Namun perancangan dan urusan persediaan pertandingan dipermudah dan berjalan lancar. Program ini juga merupakan tugas dan sumbangan akhir buat beberapa orang guru pelatih UPSI sebelum mengakhiri tempoh praktikum mereka.. Terima kasih kami ucapkan kepada Ustaz Mohd Helmi, Ustaz Mohd Muslim, Ustaz Tarmizi dan Ustaz Norbaire.. mereka merupakan individu yang banyak membantu...memandangkan peperiksaan pertengahan tahun sudah bermula untuk pelajar tingkatan empat dan lima, khidmat dan bantuan daripada pelajar tiada untuk persediaan kami.

Setelah Ketua Bidang dan Ketua Panitia kembali bertugas, kami memberikan ruang bagi ustazah Noraishah dan Ustaz Abdul Hidir melatih pelajar sepenuhnya. Kami yakin keupayaan dan kesabaran mereka serta kemahiran yang ada akan banyak membantu peserta debat sekolah.. Secara peribadi, Ketua bidang amat menyakini mereka adalah pembimbing terbaik pasukan debat sekolah ini..

Sebelum ini pasukan debat SAMER telah bertemu dua buah sekolah ketika bertanding di SMK Taman Selayang. Pertemuan pertama melibatkan SMK Selayang Baru.. Diikuti oleh pertemuan kedua melibatkan SMK Taman Selayang.. berjaya menewaskan SMK Taman Selayang, SAMER bertemu dengan SMK Seri Garing di peringkat Seri Garing.. Pada peringkat separuh akhir SAMER bertemu dengan pasukan debat yang tidak kurang hebatnya iaitu SMK Seri Gombak. Pasukan Debat SAMER bertindak sebagai barisan pembangkang dengan usul 'Penggunaan Internet Faktor Utama Kecemerlangan pelajar' dan keputusannya usul tersebut ditolak; yang sekaligus bermakna kemenangan di pihak SAMER.

Pada peringkat akhir pasukan SAMER bertemu dengan SMK Lembah Keramat dengan bertindak sebagai pihak kerajaan dengan usul "Penyertaan Kokurikulum Pemangkin Kecemerlangan Pelajar" dengan berkeputusan usul pihak kerajaan diterima... Bermakna pasukan Debat SAMER berjaya menjadi juara Pertandingan Debat Bahasa Melayu ala parlimen Sekolah-sekolah Menengah Daerah Gombak untuk ke sekian kalinya... Dan hal ini juga bermakna piala pusingan yang telah diserahkan kepada PPD Gombak dapat digenggam dan dijulang kembali oleh pasukan debat sekolah ini.

Tidak dinafikan, pasukan lawan merupakan
saingan yang hebat kepada kumpulan pendebat SAMER, namun beberapa peringkat pertandingan yang dilalui... menjadi pasukan debat SAMER lebih matang... Insyaallah kali ini, SAMER akan berusaha untuk menebus kembali kekalahan pada pusingan awal pada peringkat negeri... SAMER akan mendoakan pasukan debat ini akan mengharumkan nama PPD Gombak dan menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin... Semoga perjuangan seterusnya berserta dengan doa daripada sekolah-sekolah menengah di daerah Gombak agar dapat melangkah lebih jauh lagi..

Pertandingan yang adil dan persaingan sihat antara sekolah-sekolah menengah ini merupakan latihan dan pengalaman bermakna kepada peserta dan penontonnya. Dan untuk tahun ini,
bidang Bahasa menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pihak Koakademik PPD Gombak untuk kami menjadi tuan rumah kali ini... dan membawa kenangan manis kepada kami semua warga SAMER.
Terima kasih juga kepada panel hakim yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan telus... khasnya kepada kumpulan panel hakim di peringkat separuh akhir dan akhir ini yang diketuai oleh Cikgu Zulkifli bin Mat Top dari SBPI Gombak.


Majlis perasmian penutup telah disempurnakan sendiri oleh Pegawai unit Koakademik PPD Gombak iaitu Encik Mohd Faizullah bin Buyong.
Majlis sederhana ini berjalan lancar dan semoga jika ada kekurangan dalam majlis ini, pihak kami ingin memohon maaf... kerana yang baik itu daripada ALLAH Taala, segala kelemahan dan kekurangan datang daripada pihak kami..

Kami juga berbesar hati kerana pada setiap peringkat setiap seorang daripada Pendebat kami dapat memegang gelaran pendebat terbaik.
Pendebat-pendebat kami terdiri daripada Mohd Hazim bin Hisan (Perdana Menteri), Mohd Haiqal bin Kamal (Ketua Pembangkang), Nurul Asna Hidayah bt. Meor Abdul Rahman (Menteri 1/pembangkang 1), Mohd Ikhwan bin Abu khairi (Menteri ke 2/Pembangkang ke 2) dan simpanan Anisahtul dan Fairuznur yang sekaligus sebagai pelapis kumpulan debat Bahasa Melayu yang berikutnya.


Pendebat terbaik peringkat akhir juga jatuh kepada pendebat dari SAMER iaitu Mohd Ikhwan b. Abu Khairi... yang juga merupakan pendebat terbaik peringkat akhir tahun 2009 di SMK Seri Keramat. Mohd Ikhwan mempunyai gaya dan identiti yang tersendiri dalam menyampaikan hujah... berjaya menarik perhatian panel hakim. Tahniah kepada Mohd Ikhwan dan tahniah kepada Pasukan Debat Bahasa Melayu SAMER, kerana kejayaan mereka dan kerana mengukir suatu watak untuk SAMER...

Pihak KUBUKU BUKU juga ingin mengucapkan Selamat Ulangtahun kelahiran ke 17 buat Nurul Asna Hidayah, dan ulangtahun kelahiran ke 16 buat Mohd Ikhwan yang jatuh pada tarikh 19 Mei...(InsyaALLAH).. dan kejayaan ini dijangka merupakan hadiah indah buat mereka berdua..


Kepetahan mereka berbicara dan keupayaan mereka memimpin merupakan kesamaan yang tidak disedari... kerana dalam latihan dan perbincangan mereka, sering sahaja bercanggah pendapat dan berdebat sesama mereka... mungkin kerana ada satu kesamaan yang berlaku secara kebetulan... Semoga di usia baru, bertambah kematangan dan keseimbangan intelek, rohani, emosi dan jasmani yang sewajarnya... Semoga akan ada banyak lagi kejayaan beriringan dari semasa ke semasa pada masa muka.. Kepada kesemua pendebat, semoga kejayaan kali ini menjadi pemangkin kecemerlangan kalian pada masa akan datang. Teruskan usaha dan perjuangan dan niatkan segalanya kerana ALLAH, kerana di situlah keberkatan...

Berikut ini disertakan sebahagian gambar-gambar berkaitan untuk kenangan kita bersama..
Sokongan daripada guru-guru SAMER yang memberikan perangsang kejayaan kami. Turut serta kehadiran ibu Nurul Asna Hidayah..





























Ketika latihan akhir 13 Mei, 2010 di bilik ICT, SAMER



Doakan di peringkat seterusnya Pasukan Debat Bahasa Melayu ini akan terus jaya, insyaALLAH..