Khamis, April 09, 2009

ALAH BUKAN BERMAKNA KALAH, BERANI UNTUK MENCUBA DAN MENGORAK LANGKAH

Setiap perkara tentu ada timbal baliknya. Alah bukan bermakna kalah. Menang jadi arang, Kalah jadi abu... Bukan sesuatu yang mustahil untuk mencapai kejayaan itu jika bersungguh-sungguh. Namun kejayaan yang sebenar ialah apabila seseorang itu berani untuk melangkahkan kaki ke arena yang jarang diceburi oleh orang banyak. Dalam kalangan 700 orang pelajar di SAMER hanya lebih kurang 20 orang yang berani untuk duduk di gelanggang perdebatan itu... apatah lagi dalam gelanggang perdebatan menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.
Kami secara peribadi kagum dengan keberanian itu. Kagum dengan anak-anak yang dalam usia muda seawal 14 tahun sudah berani mengutarakan idea bernas dan berwasilah. Wacana ilmu yang terkandung di dalamnya disinambungkan sebaik mungkin dengan galasan bebanan tugasan pelajaran yang semakin mencabar kini.






Hidup ini suatu perjuangan.. dan perjuangan itu pula perlukan pengorbanan. Jika diukur keberanian dan pengorbanan itu.. perjuangan pasti menjadi wahana kepada sesuatu kejayaan.

Senyuman anak-anak ini sebenarnya adalah senyuman kejayaan dan kemenangan... kemenangan mereka dalam menangani dan mengatasi pelbagai masalah atau kekangan yang ada. Sejauh mana mereka menghadapinya dengan tabah tidak akan kita tahu. Betapa satu ketika itu, tangisan itu bukan bermakna kelemahan malahan merupakan kekuatan. Terutama ketika kali pertama menjejak ke arena perdebatan yang penuh kontroversi... yang kadang-kadang bersifat hipokrit, subjektif, progresif dan fleksibel. Jangkaan dan ukuran kejayaan yang tidak dapat dijangka. Jika tewas dalam pertandingan bukanlah disebabkan seorang tetapi keseluruhan ahli yang terlibat. Mereka tidak boleh hidup seperti enau yang melepaskan pucuk masing-masing tetapi perlu menjadi seperti aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.


Perjalanan mereka sebenarnya masing panjang. Jika bukan hari ini, mungkin akan ada hari-hari mendatang yang lebih cerah dan bermakna.




Semangat yang kuat tanpa keazaman tidak akan membuahkan hasil yang cemerlang. Namun kadang kala untuk cemerlang, seseorang itu harus menemui kegagalan demi kegagalan,, berkali-kali...hanya mereka yang kuat sahaja yang akan melepasinya untuk berjaya kemudian cemerlang.
Ada ketikanya...dalam keadaan yang menjadi harapan berjaya, rezeki tidak menyebelahi... namun itulah suratan kehidupan. Itulah kekuatan dalam gelanggang perdebatan ini. Menegakkan benang basah yang mungkin membuahkan sesuatu keyakinan yang sukar dimengertikan.

Apapun keputusan juri... Kami guru-guru di SAMER ini amat berbangga dengan kalian. Terima kasih kerana membawa sedikit kekuatan, keberanian dan ketabahan kalian dalam perdebatan yang berlangsung.

Gambar-gambar yang diabadikan dalam KUBUKU BUKU SAMER kali ini adalah di pertandingan peringkat separuh akhir Debat/ Bahas KAMIL zon 4 .... di Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST).

Biarpun ketiga-tiga delegasi debat pulang tidak membawa sebarang kemenangan, namun pengorbanan mereka amat kami hargai.
KUBUKU BUKU SAMER merakamkan tahniah kepada perwakilan yang mengambil bahagian dan menyertai perdebatan tersebut tanpa persediaan yang rapi dan teratur. Tahniah kerana mereka mampu untuk bertanding dalam keadaan yang kurang latihan dan dalam kesibukan menghadapi pelbagai tugas dan tanggungjawab. Biarpun kelak tidak ada yang mengucapkan tahniah atau memperlekehkan kalian..... kami tetap berbangga mempunyai ikon-ikon pengucapan awam yang sanggup berjuang walaupun sedar berada dalam pelbagai kekangan dan masalah. Kami guru-guru juga tahu keperitan yang kalian alami... kerana kami ada bersama kalian ketika itu , walaupun tanpa kalian sedari..

Gambar dua orang wakil delegasi Bahasa Inggeris, Nur Sakinah dan Farhah. Mereka adalah dua remaja yang kuat semangat berusaha, untuk membolehkan SAMER mempunyai wakil perdebatan dalam Bahasa Inggeris. Mereka berkerjasama dalam kepayahan dan kesukaran.. menterjemah dan mengulas hujah sebaik mungkin.




Gambar : Ust.Sarah Johari dan Mohd Hazim Hisan.
Pandangan dan komen membina tentu membantu delegasi yang bertanding untuk terus mara dan bersemangat meneruskan usaha memperkembang minat dalam delegasi perdebatan.
Gambar Delegasi Bahasa Arab.. Terdiri daripada Basmah, Muzammil dan Wan Mohd Ahyar.
Keberanian mereka tentu akan lebih terserlah dalam pertandingan-pertandingan seperti ini. Walau bagaimanapun ... kalian tentu mendapat perhatian, jika bukan hari ini..mungkin suatu hari nanti dengan usaha yang berterusan. Jika bukan dalam pertandingan ini, mungkin dalam masyarakat kelak..

Melihat ke langit, ada ketikanya kita akan lupa akan rumput di bumi. Semoga kalian akan bersederhana dalam banyak perkara. Berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat menjadi pemimpin yang baik pada masa hadapan. InsyaAllah....

Gambar: Mohd Ezrin.. Wakil tunggal putera dalam delegasi Debat Bahasa Inggeris. Memcuba nasib dan memperlihatkan kesungguhan dalam arena ini dan menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin.










Gambar : Sesi perdebatan dan berbincang untuk meneguhkan hujah bagi membangkang usul pada hari ini.




















Gambar : Sakinah sedang menyampaikan hujahnya dengan tenang.


Muafakat membawa berkat... persediaan yang sedikit akan menjadi lebih mudah dan menyakinkan dengan kerjasama yang baik.


Delegasi pihak lawan dari SAMT Kuala Kubu Bharu...
Dari hadapan : Berdiri sedang membentangkan hujah.. Muhammad Aiman Syihabuddin.
Kedua, Nur Dhaniah dan ketiga Mohd Naufal.... Ketiga-tiga mereka adalah bekas pelajar SAMER 2008.
Dengan ertikata lain anak-anak kami bertanding dan memperkukuh bakat yang ada dalam kalangan mereka.. Kami tidak berasa ralat kerana tewas dalam perbahasan Bahasa Arab ini. Kami berasa tetap berjaya biarpun anak-anak kami itu sudah bertukar atau melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah lain. Semoga bakat yang ada akan dapat dikembangkan dengan baik dan dibajai supaya subur dan berguna... bukan hanya membawa imej sekolah semata-mata tetapi dalam membentuk jati diri mereka sebagai insan Kamil yang mukmin. InsyaAllah...WASSALAM...

Rabu, April 01, 2009

ALHAMDULLILLAH, KAMI BERJAYA MEWAKILI DAERAH GOMBAK

01 April, 2009... Pasukan Debat SAMER ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat untuk meneruskan perjuangan Pertandingan Debat Bahasa Melayu Ala Parlimen ke peringkat separuh akhir daerah Gombak, Selangor.
Pada peringkat separuh akhir pasukan debat SAMER, bertemu dengan SMK Taman Melawati. Dua sesi perdebatan dijalankan serentak. Satu sesi lagi adalah perdebatan antara SMK Darul Ehsan dan SM Teknik Selangor, Sg.Buloh. Percaturan ini adalah hasil undian sebelum perlawanan. Keputusan separuh akhir memberikan kami SAMER laluan untuk bertemu dengan SMK Darul Ehsan. Tentu persaingan yang begitu sengit kerana pendebat SMK Darul Ehsan, bukan calang-calang lawan.


Seperti di peringkat separuh akhir, delegasi SAMER dapat undian sebagai kerajaan. Cuma, kekalutan berlaku disebabkan selama beberapa minggu kami bersedia untuk tajuk usul yang sedikit berbeza. Usul yang menjadi perbincangan kami..INDUSTRI ASAS TANI PEMANGKIN PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA tetapi usul sebenar, INDUSTRI ASAS TANI PEMANGKIN KEMAJUAN NEGARA. Delegasi kerajaan dalam keadaan kalut. Namun 2 orang pembimbing yang mantap dan berdedikasi dapat membantu menangani kekalutan tersebut. Dalam bersusah payah delegasi kerajaan meneruskan perjuangan. Premis perlu diganti, hujah pasti pincang jika tiada kewajaran yang jelas.

Sidang perdebatan sedang bersedia untuk dimulakan pada bila-bila masa. Para juri hakim dan peserta mengambil tempat masing-masing.
Namun segala yang berlaku bukanlah satu halangan. Kebersatuan hati menjadikan delegasi SAMER saling menyokong antara satu sama lain. Akhirnya ilham yang datang membolehkan mereka bersedia seadanya dan meneruskan perdebatan dengan yakin dan berwibawa.

Delegasi Kerajaan : SEKOLAH AGAMA MENENGAH RAWANG (SABK)

Delagasi Pembangkang : SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DARUL EHSAN.

Yang bulat tidak akan bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Menggenggam bara api biarlah sampai menjadi arang.... bukan sedikit masa dan ruang yang dikorbankan, untuk berhenti di pertengahan perjalanan.

Hakikatnya bukan mudah untuk menghadapi lawan yang berpengalaman menerajui delegasi perdebatan daerah. Delegasi SAMER telah melalui pelbagai kekangan, rintangan, pertelingkahan, kesulitan, kepayahan untuk sampai ke tahap ini. Kami berbangga mempunyai ikon-ikon pendebat yang kuat semangat dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan. Selama ini kegagalan-kegagalan tidak menjadi halangan untuk mereka terus berusaha hingga ke peringkat akhir daerah Gombak.
Sejak SAMER menjadi SABK, para pendebat menghadapi ruang dan arena yang lebih besar dan mencabar. Bukan mudah untuk memilih benih yang baik dalam kalangan ratusan pelajar. Ikon pendebat kami bertatih untuk sampai ke peringkat demi peringkat, berjalan perlahan-lahan. Jatuh dan bangun semula agar dapat duduk sebaris dengan sekolah-sekolah menengah kebangsaan yang lebih gah dan berpengalaman. Pembimbing yang tidak jemu-jemu memberikan perhatian dan komitmen dalam membentuk ikon-ikon pendebat juga memainkan peranan.
Gambar : Ustzh Maryuni bt. Mohamed, Ustzh Norhasimah bt. Hassan dan Ustzh Nor Aishah bt.Hj.Ibrahim (Guru Pembimbing Debat Bahasa Melayu SAMER)

Ust. Abdul Hidir Afnizal bin Abdul Latif, sentiasa bersedia memberikan komitmen beliau untuk Bahas/debat ala parlimen ini. Beliau melibatkan diri sejak tahun beliau menjejak kaki ke SAMER dan telah melatih serta melahirkan produk pendebat-pendebat yang berketrampilan dan mampu berhujah dengan petah dan bernas.

Guru-guru turut memberikan sokongan padu kepada anak-anak didik agar mereka mempunyai semangat yang jitu. Semoga sedikit sokongan kami memberikan banyak inspirasi kepada mereka.

Hujah demi hujah dibentangkan. Premis dipertahankan. Bidasan berbalas bidasan. Akhirnya berkeputusan : " Usul Industri Asas Tani Pemangkin Kemajuan Negara, DITERIMA"

Pendebat terbaik Pertandingan Bahas Ala Parlimen Bahasa Melayu jatuh kepada MOHD IKHWAN B. ABU KHAIRI, dari SABK Rawang.




Gambar kanan : Pn. Nor Aishah bt. Hj. Ibrahim..

menerima piala pusingan Debat Ala Parlimen Bahasa Melayu Daerah Gombak sempena kejayaan delegasi Sekolah Agama Menengah Rawang.

TAHNIAH, para pendebat SAMER....

Namun, ini adalah permulaan untuk meneruskan perjalanan yang lebih beronak duri. Usaha dan komitmen yang padu perlukan pengorbanan yang lebih besar. Bukan mudah untuk mendaki tangga-tangga kejayaan sekiranya kalian berpuas hati dengan kejayaan hari ini. Semoga Daerah Gombak akan cemerlang di persada debat ala parlimen di peringkat negeri dan kebangsaan. Usia muda bukan bermakna kalian tidak boleh mencapai ke tahap yang lebih tinggi. Semoga segala usaha yang dilakukan diberkati dan dirahmati ALLAH, sentiasa. Semoga ketika melihat bintang di langit, tidaklah dilupakan rumput di bumi... Esok belum pasti biarpun hari ini indah dan penuh seri.... jika kalian lupa, usah kelak batu di jalanan dipersalahkan menjadi sebab kalian tersungkur. Semoga kalian yang menjadi kebanggaan kami di SAMER sentiasa ingat dan sedar dalam perjalanan menuju kejayaan itu yang masih panjang dan jauh. Semoga kejayaan demi kejayaan berpihak kepada kalian, InsyaALLAH.

Berikut kami paparkan gambar-gambar kenangan di SMK Seri Keramat, untuk tatapan semua pembaca KUBUKU BUKU SAMER...

Bergambar bersama-sama dua delegasi SAM Rawang dan SMK Darul Ehsan

Delegasi kami barisan Kerajaan yang membawa usul 'Industri Asas Tani Pemangkin Kemajuan Negara' yang diterima .Dari Kiri : Ust Abdul Hidir Afnizal, Khairunnajjah, Fatin Nabilah, Ustzh Maryuni Mohamed, Nurul Asna Hidayah, Ustzh Nor Aishah, GPK SMK Seri Keramat, Pn. Noraini Ibrahim, Ustzh Norhasimah

Duduk : Mohd Ikhwan, Mohd Haiqal, Mohd Hazim

Kami akan terus bersama dalam pelbagai dugaan dan ujian mengharungi perjuangan seterusnya. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat guru-guru yang membantu... terutama Ustzh Sarah bt. Johari, dan Ustzh Amaliah bt. Hj. Ikhsan: juga kepada Pengetua SAM Rawang, Pn. Siti Romziah bt. Madong.. serta warga SAMER yang mendoakan kejayaan delegasi debat Bahasa Melayu ini untuk terus mara.

Gambar:

Pn. Maryuni bt. Mohamed dan Mohd Hazim b. Hisan

Delegasi SMK Darul Ehsan, Selayang, Selangor.

Gambar : Pn Norhanum bt. Mohd Yusof (Hakim)

Beliau adalah mantan murid dan guru (Ketua Bidang Bahasa) di SAM Rawang yang kini bertugas di SMK Sg.Kertas, Selayang...sedang berbincang bersama Pn. Maryuni bt. Mohamed, guru Bahasa Melayu SAM Rawang.