Rabu, April 01, 2009

ALHAMDULLILLAH, KAMI BERJAYA MEWAKILI DAERAH GOMBAK

01 April, 2009... Pasukan Debat SAMER ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat untuk meneruskan perjuangan Pertandingan Debat Bahasa Melayu Ala Parlimen ke peringkat separuh akhir daerah Gombak, Selangor.
Pada peringkat separuh akhir pasukan debat SAMER, bertemu dengan SMK Taman Melawati. Dua sesi perdebatan dijalankan serentak. Satu sesi lagi adalah perdebatan antara SMK Darul Ehsan dan SM Teknik Selangor, Sg.Buloh. Percaturan ini adalah hasil undian sebelum perlawanan. Keputusan separuh akhir memberikan kami SAMER laluan untuk bertemu dengan SMK Darul Ehsan. Tentu persaingan yang begitu sengit kerana pendebat SMK Darul Ehsan, bukan calang-calang lawan.


Seperti di peringkat separuh akhir, delegasi SAMER dapat undian sebagai kerajaan. Cuma, kekalutan berlaku disebabkan selama beberapa minggu kami bersedia untuk tajuk usul yang sedikit berbeza. Usul yang menjadi perbincangan kami..INDUSTRI ASAS TANI PEMANGKIN PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA tetapi usul sebenar, INDUSTRI ASAS TANI PEMANGKIN KEMAJUAN NEGARA. Delegasi kerajaan dalam keadaan kalut. Namun 2 orang pembimbing yang mantap dan berdedikasi dapat membantu menangani kekalutan tersebut. Dalam bersusah payah delegasi kerajaan meneruskan perjuangan. Premis perlu diganti, hujah pasti pincang jika tiada kewajaran yang jelas.

Sidang perdebatan sedang bersedia untuk dimulakan pada bila-bila masa. Para juri hakim dan peserta mengambil tempat masing-masing.
Namun segala yang berlaku bukanlah satu halangan. Kebersatuan hati menjadikan delegasi SAMER saling menyokong antara satu sama lain. Akhirnya ilham yang datang membolehkan mereka bersedia seadanya dan meneruskan perdebatan dengan yakin dan berwibawa.

Delegasi Kerajaan : SEKOLAH AGAMA MENENGAH RAWANG (SABK)

Delagasi Pembangkang : SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DARUL EHSAN.

Yang bulat tidak akan bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Menggenggam bara api biarlah sampai menjadi arang.... bukan sedikit masa dan ruang yang dikorbankan, untuk berhenti di pertengahan perjalanan.

Hakikatnya bukan mudah untuk menghadapi lawan yang berpengalaman menerajui delegasi perdebatan daerah. Delegasi SAMER telah melalui pelbagai kekangan, rintangan, pertelingkahan, kesulitan, kepayahan untuk sampai ke tahap ini. Kami berbangga mempunyai ikon-ikon pendebat yang kuat semangat dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan. Selama ini kegagalan-kegagalan tidak menjadi halangan untuk mereka terus berusaha hingga ke peringkat akhir daerah Gombak.
Sejak SAMER menjadi SABK, para pendebat menghadapi ruang dan arena yang lebih besar dan mencabar. Bukan mudah untuk memilih benih yang baik dalam kalangan ratusan pelajar. Ikon pendebat kami bertatih untuk sampai ke peringkat demi peringkat, berjalan perlahan-lahan. Jatuh dan bangun semula agar dapat duduk sebaris dengan sekolah-sekolah menengah kebangsaan yang lebih gah dan berpengalaman. Pembimbing yang tidak jemu-jemu memberikan perhatian dan komitmen dalam membentuk ikon-ikon pendebat juga memainkan peranan.
Gambar : Ustzh Maryuni bt. Mohamed, Ustzh Norhasimah bt. Hassan dan Ustzh Nor Aishah bt.Hj.Ibrahim (Guru Pembimbing Debat Bahasa Melayu SAMER)

Ust. Abdul Hidir Afnizal bin Abdul Latif, sentiasa bersedia memberikan komitmen beliau untuk Bahas/debat ala parlimen ini. Beliau melibatkan diri sejak tahun beliau menjejak kaki ke SAMER dan telah melatih serta melahirkan produk pendebat-pendebat yang berketrampilan dan mampu berhujah dengan petah dan bernas.

Guru-guru turut memberikan sokongan padu kepada anak-anak didik agar mereka mempunyai semangat yang jitu. Semoga sedikit sokongan kami memberikan banyak inspirasi kepada mereka.

Hujah demi hujah dibentangkan. Premis dipertahankan. Bidasan berbalas bidasan. Akhirnya berkeputusan : " Usul Industri Asas Tani Pemangkin Kemajuan Negara, DITERIMA"

Pendebat terbaik Pertandingan Bahas Ala Parlimen Bahasa Melayu jatuh kepada MOHD IKHWAN B. ABU KHAIRI, dari SABK Rawang.




Gambar kanan : Pn. Nor Aishah bt. Hj. Ibrahim..

menerima piala pusingan Debat Ala Parlimen Bahasa Melayu Daerah Gombak sempena kejayaan delegasi Sekolah Agama Menengah Rawang.

TAHNIAH, para pendebat SAMER....

Namun, ini adalah permulaan untuk meneruskan perjalanan yang lebih beronak duri. Usaha dan komitmen yang padu perlukan pengorbanan yang lebih besar. Bukan mudah untuk mendaki tangga-tangga kejayaan sekiranya kalian berpuas hati dengan kejayaan hari ini. Semoga Daerah Gombak akan cemerlang di persada debat ala parlimen di peringkat negeri dan kebangsaan. Usia muda bukan bermakna kalian tidak boleh mencapai ke tahap yang lebih tinggi. Semoga segala usaha yang dilakukan diberkati dan dirahmati ALLAH, sentiasa. Semoga ketika melihat bintang di langit, tidaklah dilupakan rumput di bumi... Esok belum pasti biarpun hari ini indah dan penuh seri.... jika kalian lupa, usah kelak batu di jalanan dipersalahkan menjadi sebab kalian tersungkur. Semoga kalian yang menjadi kebanggaan kami di SAMER sentiasa ingat dan sedar dalam perjalanan menuju kejayaan itu yang masih panjang dan jauh. Semoga kejayaan demi kejayaan berpihak kepada kalian, InsyaALLAH.

Berikut kami paparkan gambar-gambar kenangan di SMK Seri Keramat, untuk tatapan semua pembaca KUBUKU BUKU SAMER...

Bergambar bersama-sama dua delegasi SAM Rawang dan SMK Darul Ehsan

Delegasi kami barisan Kerajaan yang membawa usul 'Industri Asas Tani Pemangkin Kemajuan Negara' yang diterima .Dari Kiri : Ust Abdul Hidir Afnizal, Khairunnajjah, Fatin Nabilah, Ustzh Maryuni Mohamed, Nurul Asna Hidayah, Ustzh Nor Aishah, GPK SMK Seri Keramat, Pn. Noraini Ibrahim, Ustzh Norhasimah

Duduk : Mohd Ikhwan, Mohd Haiqal, Mohd Hazim

Kami akan terus bersama dalam pelbagai dugaan dan ujian mengharungi perjuangan seterusnya. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan buat guru-guru yang membantu... terutama Ustzh Sarah bt. Johari, dan Ustzh Amaliah bt. Hj. Ikhsan: juga kepada Pengetua SAM Rawang, Pn. Siti Romziah bt. Madong.. serta warga SAMER yang mendoakan kejayaan delegasi debat Bahasa Melayu ini untuk terus mara.

Gambar:

Pn. Maryuni bt. Mohamed dan Mohd Hazim b. Hisan

Delegasi SMK Darul Ehsan, Selayang, Selangor.

Gambar : Pn Norhanum bt. Mohd Yusof (Hakim)

Beliau adalah mantan murid dan guru (Ketua Bidang Bahasa) di SAM Rawang yang kini bertugas di SMK Sg.Kertas, Selayang...sedang berbincang bersama Pn. Maryuni bt. Mohamed, guru Bahasa Melayu SAM Rawang.

2 ulasan:

  1. ouh tidak..
    ade gambar saya di sana..
    hahaha..
    pape pun..
    SAMER the best..

    BalasPadam
  2. saya masih ingat lagi bahas pusingan akhir yang ini.. well done SAMER. semoga kejayaan kalian yang dulu tetap bertahan sampai ke hari ini.
    - mantan pembahas SMK Darul Ehsan 2006, Deepan Raj Sunderajan-

    BalasPadam